Akidah tauhid menjadi tunjang dalam menyakini kewujudan Allah dan penyebab kepada terciptanya alam ini. Alam ini tidak terjadi dengan sendiri atau bergerak dengan sendiri. Bintang dan galaksi bergerak laju tetapi tersusun dan teratur malah tidak berlanggar melainkan dengan takdir-Nya.

Jiwa tauhid ini sifatnya merentasi dalam melakukan ibadah, melalui proses syariah untuk membentuk watak dan perlakuan manusia atau pun akhlak yang Islami. Daripadanya bakal lahir watak Islami yang menjadi teladan dan ikutan. Pembentukan watak sebegini melalui proses pengilmuan dan jihad. Tanpanya pemahaman terhadap Islam berlaku secara ikut-ikutan dan menyebabkan fikrah Islami tidak terbina.

Fikrah Islami amat penting dalam membentuk pola berfikir dan beramal dalam Islam. Fikrah Islami menjadi pedoman membentuk tasawwur atau pandangan semesta yang membantu terjadinya keseimbangan dan keharmonian dalam mencari kebenaran.

Ilmu yang benar dan bermanfaat menjadi faktor utama membimbing manusia memahami yang nyata dan ghaib. Al-Quran adalah petunjuk membawa perkhabaran benar dan pemikiran yang bermanfaat dipandu supaya akal terpedoman dan sifatnya tidak bercanggah. Integrasi nakli-akli ini apabila diharmonikan bakal mengukuhkan hubungan menegak dan merentas dengan Allah dan manusia juga sistem. Inilah aksis atau tunjangan yang membentuk tasawwur Islami.

Tasawwur Islami adalah prasyarat penting membangunkan pemikiran dan hati. Pemikiran yang dipandu oleh ilmu yang benar dan bermanfaat membangunkan hati-budi supaya niat yang terbina ke arah kebaikan dan kemakrufan. Hati-budi yang tulus dengan niat yang baik bakal menghasilkan amal contoh dan sumber ikutan.

Amal contoh yang dilakukan dikaitkan dengan Allah. Kaitan dengan Allah memberikan daya kawalan yang tinggi kepada seseorang insan kerana insan menginsafi apa sahaja yang dilakukannya adalah dalam pengetahuan dan pemerhatian Allah. Sifat ubudiyyah (ketaatan) ini hikmah atau kebaikannya berpulang kepada manusia.

Watak dan amalan adalah cerminan kepada Islam. Rasulullah SAW seperti digambarkan oleh isterinya Aishah r.a. memiliki akhlak al-Quran (khuluq al-Quran). Baik dalam percakapan, pergaulan, melakukan dakwah, menghadapi cabaran dan kerenah, berdepan dengan jihad atau maslahah, Rasulullah tetap seorang yang benar dan bijaksana hingga akhirnya dakwah dan tarbiah baginda berakhir dengan kemenangan.

Rasulullah tidak gopoh dan hilang pertimbangan walaupun dihina. Pengalaman di Taif amat perit bagi baginda tetapi Rasulullah tidak pernah putus asa. Berhijrah ke Madinah adalah suatu kebijaksanaan berdepan dengan suasana baharu yang menuntut pendekatan litaarrafu atau kerjasama terjadi. Futul Makkah atau kembali semula ke Mekah dilakukan dengan strategi yang rapi dan cermat sehingga akhirnya kejayaan dicapai.

Antara kelemahan umat Islam masa kini ialah tidak memiliki watak seperti dimiliki Rasulullah. Sesetengah daripada kita namanya saja Islam tetapi amal Islami tidak terlihat. Ada yang terlibat dalam jemaah Islam tetapi berbangga-bangga dengan kelebihan jemaahnya dan menimbulkan taksub. Ada juga terlibat dalam politik Islam yang cenderung melabel dan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat.

Wajah Islam perlu dijernihkan semula supaya memikat orang Islam apatah lagi bukan Islam. Jika watak dan amalan membayangkan orang Islam yang berilmu, mempunyai jiwa tawaduk, sangka baik dan sentiasa sabar berdepan kerenah, fahaman mengimbangi strategi dan maslahah, fokus terhadap keutamaan, terus melakukan dakwah dan tarbiah, bersifat menyumbang ke arah pembangunan Islam, penulis percaya umat Islam bakal bangun dengan kekuatan baharu ke arah contoh dan teladan yang boleh dijadikan sumber ikutan.

Akar kata Islam iaitu salama membawa maksud sejahtera. Umat Islam adalah umat yang menyejahterakan diri mereka dan orang lain. Apabila keikhlasan menjadi pakaian orang Islam, kejujuran menjadi kegunaan orang Islam, amanah menjadi perisai umat Islam, keadilan pula menjadi pegangan maka akan mencetuskan rasa sejahtera yang tinggi. Inilah sebenarnya risalah Islam pembawa rahmat bagi sekalian alam.

Sayangnya kualiti yang baik dalam Islam ini tidak terlihat dan diamalkan, sebaliknya hanya menjadi sebutan dalam ceramah dan tazkirah. Proses penyerapan tidak terjadi. Ini menyebabkan syarah dan khutbah tidak masuk ke dalam hati maka keinsafan tidak terjadi. Jika syarah dan khutbah dihayati, pasti membawa perubahan kepada watak dan amal.

By: PROF. DATUK DR. SIDEK BABA.