Tuesday, January 30, 2018

PENGARAH JPS ANTARA 3 DITAHAN -SPRM.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran antara tiga individu ditahan hari ini dan akaun bank berjumlah RM2.9 juta disita bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengarah berumur 60 tahun itu dan dua orang pemilik dua buah syarikat berumur 39 dan 50 tahun itu ditahan di sebuah pejabat SPRM.

Katanya, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah hampir RM900,000 di rumah seorang pemilik syarikat yang ditahan itu.

"Pengarah itu disyaki menerima wang rasuah sebanyak 10 peratus bagi setiap projek yang dianugerahkan oleh JPS di sebuah negeri kepada kontraktor-kontraktor dilantik sejak tahun 2014 hingga 2017.

"Dua individu yang merupakan pemilik syarikat dipercayai telah bersubahat dengan pengarah tersebut," kata sumber itu.

"Dia (pengarah) juga didapati menjalani kehidupan yang mewah hasil wang rasuah yang diterima daripada kontraktor-kontraktor sejak tahun 2014.

Difahamkan, siasatan juga mendapati pengarah itu telah memindahkan sejumlah wang rasuahnya ke beberapa akaunnya dan saudara-maranya," kata sumber itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek bagi membantu siasatan.

"Siasatan dimulakan selepas SPRM menerima laporan berhubung dakwaan perbuatan pengarah tersebut.

Siasatan masih di peringkat awal dan pasukan penyiasat kini dalam proses meneliti dokumen-dokumen yang dirampas bagi membantu siasatan," kata Azam.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan akan direman esok bagi membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen17(a) dan Seksyen 23 Akta SPRM serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.- 29/1/2018


 

No comments:

Post a Comment

Pengikut

Tajuk-Tajuk Menarik